Hiburan: Dikongkong atau disokong?

Kini, anak muda di Malaysia termasuklah Melayu-Islam semakin ghairah menghadiri konsert-konsert hiburan tempatan dan artis antarabangsa.
- Advertisement -

ISLAM tidak pernah melarang penganutnya untuk berhibur seperti yang disebutkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya, ‘al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’ bahawa hiburan adalah harus kerana sifatnya yang membawa kegembiraan, kerehatan minda, kesenangan jiwa dan kesedapan pendengaran selagi tidak dicampuri perkara dan perbuatan yang mendatangkan dosa.

Namun demikian, apabila melihat kepada keadaan semasa, hanya keharusannya yang diambil oleh manusia, tetapi tidak pada larangannya iaitu “hiburan tidak boleh dicampuri perkara dan perbuatan yang mendatangkan dosa”.

- Advertisement -

Buktinya apabila pengamalan industri hiburan negara, tidak keseluruhannya mengimplementasikan garis panduan yang menepati hukum-hakam agama dan budaya masyarakat Malaysia. Lihat sahaja pada aspek pemakaian artis-artis yang majoritinya tidak menutup aurat dan menjolok mata. Ditambah pula dengan babak-babak lakonan yang melanggar etika agama dan penuh kebaratan, termasuklah skrip-skrip yang menggiurkan.

Kini, anak muda di Malaysia termasuklah Melayu-Islam semakin ghairah menghadiri konsert-konsert hiburan tempatan dan artis antarabangsa. Yang mana pemakaian-pemakaian artis yang terlibat jelas menyalahi garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) iaitu baik artis lelaki mahu pun perempuan dilarang memakai pakaian menjolok mata, apatah lagi yang mendedahkan badan dan menampakkan bentuk badan bagi artis wanita. Sayangnya, tiada tindakan yang dikenakan ke atas mereka.

Malah, yang membantah pula menjadi salah apabila baru-baru ini kita dikejutkan dengan amaran Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) yang bakal mengambil pendekatan proaktif melalui tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba membantah dan mengganggu pelaksanaan konsert di negara ini. Cukup pelik.

Anak muda tidak boleh sentiasa didedahkan dengan hiburan lara sebegini. Sebaliknya, keghairahan mereka berhibur tika ini sehinggakan sanggup menghabiskan wang simpanan beratus-ratus malah beribu-ribu demi bertemu mata dengan artis idaman sehinggakan masa sanggup dihabiskan di hadapan laptop demi membeli tiket-tiket konsert perlu dibendung.

Dalam hal ini, PAS mungkin dilihat agresif apabila terus-terusan membantah konsert-konsert yang dilaksanakan di Malaysia sehingga menggesa pihak kerajaan untuk bertindak membatalkannya. Namun demikian, hal ini harus difahami sepertimana pernah disebutkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS tiada masalah dengan konsert, tetapi PAS bermasalah dengan pelaksanaan konsert yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Dalam isu pengamalan konsert artis antarabangsa yang berpakaian menjolok mata, hal ini sebenarnya boleh dibetulkan dengan ketetapan yang betul.

Pada tahun 2012, Malaysia dikejutkan dengan kumpulan Korea wanita yang berbaju kurung ketika membuat persembahan nyanyian mereka di atas pentas. Pada tahun 2016, Malaysia dikejutkan pula dengan seorang artis lelaki Korea yang berbaju Melayu ketika menemui para peminat.

Dua keadaan ini boleh dijadikan kes ‘precedent’ kepada pengamalan konsert artis antarabangsa di negara kita yang mana memberi mesej bahawa tidak mustahil untuk negara kita mengetengahkan busana yang tidak menjolok mata dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh PUSPAL, selari dengan pengamalan agama dan budaya di Malaysia. Malah, hal ini sangat tidak mustahil untuk dipraktiskan oleh artis-artis tempatan yang memang berasimilasi dengan adat dan budaya Malaysia.

Secara amnya, hiburan itu perlu disokong kerana melibatkan fitrah manusia. Tetapi, andai pelaksanaannya melibatkan perkara-perkara yang haram dan bertentangan dengan agama, maka umat Islam perlu dikongkong menerusi tindakan yang benar daripada terjebak dengannya.

Sesungguhnya pengamalan hiburan yang merosakkan telah lama menjadi barah dalam kalangan anak muda. Dengan hanya memberi nasihat agama dan kempen kesedaran sudah tidak memberi impak kepada anak muda zaman milenia ini. Hal ini perlu diubah melalui penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, disusuli tindakan tegas oleh pihak kerajaan.

Oleh itu, besar harapan saya agar penyelarasan berkaitan garis panduan penganjuran hiburan di negara ini yang dilaksanakan oleh JAKIM sepertimana yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2 Disember 2023 dikeluarkan segera bagi menyelesaikan isu hiburan yang kian membelenggu dan menjerut anak muda Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/3/2024

- Advertisement -