Politik kasih sayang, K.Lah disegani di R.Panjang

Harakahdaily | .

 

(Zailah meninjau bangsal panas pemuda Umno di Kampung Tasik di sini)

 

RANTAU PANJANG: Bercakap tentang wakil rakyat di parlimen Rantau Panjang, Kelantan, rata-ratanya sangat mengenali Siti Zailah Mohd Yusoff atau lebih mesra dengan panggilan K.Lah oleh masyarakat di sini.

Mungkin ada yang mengenalinya kerana pernah bertemu secara peribadi, atau rumahnya didatangi wakil rakyat ini ataupun melihatnya di poster-poster ceramah dan mungkin juga bertemu di pusat penempatan banjir dan pernah menerima sumbangan darinya.

Zailah bukan nama kecil di Rantau Panjang. Sejak 2008 menjadi wakil rakyat di sini, khidmat dan kesungguhannya menjalankan tanggungjawab sebagai YB, diakui oleh semua masyarakat.

Jika biasa, masyarakat hanya boleh melihat wakil rakyatnya bila ada majlis keraian, kenduri kendara, kematian dan juga musibah, namun Zailah ini terkenal dengan 'kemunculan tanpa diduga'.

Biarpun tanpa jemputan rasmi, wakil rakyat PAS ini sendiri mengatur jadual melakukan ziarah rumah ke rumah penduduk di kawasannya.

Uniknya, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS tidak pernah berkira soal perbezaan politik, dan menganggap semua masyarakat di sini adalah saudara-maranya.

Tidak hairanlah jika beliau disegani bukan sahaja oleh kawan-kawan malah juga pihak lawan.

"K.Lah selesa dengan pendekatan kasih sayang. Semua golongan di sini K.Lah santuni dengan hormat dan kasih sayang kerana menganggap mereka seperti saudara-mara K.Lah sendiri.

"Tak kira PAS ke Umno ke, K.Lah jumpa semua. Bagi K.Lah, perbezaan bendera dan warna bukan tembok penghalang untuk kita berkasih sayang seperti dianjur oleh agama Islam," katanya kepada Harakahdaily.

Sepenggal menjadi wakil rakyat di sini, Zailah dilihat telah meletakkan asas yang kukuh buat PAS untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat di sini.

Setiap kali musim tengkujuh contohnya, K.Lah antara wakil rakyat yang akan sibuk menyiapkan bantuan kepada rakyatnya di sini yang berkemungkinan berdepan masalah banjir ekoran kedudukannya bersebelahan Sungai Golok.

Bila berlaku sahaja banjir, beliau akan turun ke pusat penempatan, menyampaikan bantuan serta meluangkan masa bersama rakyat bagi merasai kesusahan mereka.

Boleh dikatakan hampir setiap rumah yang terlibat dengan banjir di sini sudah biasa menerima bantuan bekalan makanan khususnya beras dari K.Lah.

Bercakap soal calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pula, nama K.Lah terus menjadi sebutan masyarakat di sini.

Bukan sahaja di kalangan masyarakat, khidmat K.Lah juga turut diakui oleh jentera BN yang sehingga kini masih berbalah soal calon mereka.

Pada PRU 2008 lalu, Zailah menang dengan majoriti 4,486 undi apabila memperolehi 19,344 undi berbanding calon BN Mohd Afandi Yusoff 14,858 undi dan calon bebas Isma Airfath Hassanuddin yang memperolehi 330 undi.

Share on Myspace