Anak muda Pahang diajak sertai Konvoi Tolak

Harakahdaily | .

KUANTAN: Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) yang mula dilancarkan di Kuala Lumpur beberapa minggu lepas hari ini telah tiba di bahagian utara tanah air.

 

Konvoi akan meneruskan jelajah ke negeri Pahang Darul Makmur yang menjadi destinasi terakhir Konvoi Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN bagi Semenanjung Malaysia.

 

Konvoi akan berlangsung pada Ahad, 14 April bermula dari Temerloh sekitar jam 8.00 pagi yang bakal dilepaskan secara rasmi oleh calon P. 088 Temerloh, Hassan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

 

Konvoi akan disertai sebanyak 1,000 kenderaan bermotor yang terdiri daripada NGO dan Parti Politik iaitu SAMM, Anti Lynas, Anak, GM13, Ameerah, Perantau, Nisa', Gamis, Royalti, ARC dan seluruh anak muda sekitar Pahang.

 

Konvoi bermula di Temerloh dan akan singgah di Maran, Srijaya, Kuantan dan berakhir di Pekan dalam satu program yang dinamakan "Malam Kebangkitan Anak Muda: Tolak Umno BN".

 

Menurut Pengerusi Gamis Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar memberitahu, antara tujuan utama program itu dijalankan adalah untuk mencetus satu gelombang dan momentum Tolak Umno BN dalam usaha untuk memenangkan Pakatan Rakyat sekaligus menawan Wisma Sri Pahang.

 

Sehubungan itu, beliau mengajak dan menyeru semua anak muda di Negeri Pahang, tanpa mengira latar belakang usia, taraf hidup mahupun parti politik, untuk menyertai Konvoi Tolak dan juga Malam Kebangkitan Anak Muda: Tolak Umno BN pada Ahad ini.

 

Antara aktiviti sepanjang konvoi adalah mengedar risalah, mengadakan 'speaker corner', mengumpul tandatangan dan persembahan 'basking' dan 'flashmob' di pantai Teluk Cempedak sebagai simbolik penolakan anak muda terhadap Umno BN.

 

Pada malamnya pula akan diadakan pidato anak muda dari pelbagai latar belakang NGO dan wakil parti politik serta serahan deklarasi anak muda bersama Pakatan Rakyat.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari akaun rasmi Facebook Gamis Pahang dan blog Gamis Pahang.

Share on Myspace