Transformasi: Rakyat bayar untuk Umno menang lagi?

Buletin Online | .

Melihat pada iklan-iklan propaganda Umno-BN di kaca telivisyen, menjadikan kita tercari-cari di manakah yang dimaksudkan dengan 'transformasi' sebagaimana yang diwar-warkan, satu usaha dipimpin oleh Perdana Menteri.

 

Kalau yang dipamerkan sebagai sebuah premis yang memberikan pelbagai khidmat itu sebuah transformasi, ia masih jauh dari makna sebenarnya suatu pembaharuan yang kononya telah dilakukan.

Empat puluh tahun yang lalu telah ada pusat pelbagai perkhidmatan di kampung-kampung yang memberikan rakyat pelbagai kemudahan seperti membayar bil air, bil elektrik, menjual stem dan menyediakan kemudahan dan lain-lain lagi, semuanya dibuat di satu lokasi, dipusat kecil pihak berkuasa tempatan yang diuruskan oleh seorang kerani.

Skala besarnya, apa yang ada sekarang, seperti mana dipamerkan dalam iklan propaganda Umno-BN, urusan kerajaan yang dibuat pada satu pusat.

Jadi, di mana transformasinya?

Lagu dengan nada 'terima kasih' yang dikumandangkan bertujuan supaya rakyat menyanjung tinggi kerajaan telah mula diputarkan sejak hampir setahun lalu. Dengan memaparkan sketsa masyarakat luar bandar, dan temubual dengan orang-orang kampung, yang cuba menonjolkan puji-pujian kepada kerajaan.

Iklan propaganda ini, sebenarnya telah diulang-ulang oleh arwah Tun Ghaffar Baba sewaktu berkempen lebih tiga puluh tahun dahulu. Kita masih tidak lupa dengan kata-kata yang sering kedengaran, "kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan, bekalan air, bekalan elektrik, jalan raya dan pengangkutan".

Manipulasi suatu tanggungjawab kerajaan yang wajib dilaksanakan oleh mana-mana jua kerajaan pun di dunia ini, telah dijadikan bahan kempen Umno-BN.

Ia wajib ditolak, kerana ia bukan sebuah transformasi, ia cuma proses biasa pembangunan yang dilaksanakan.

Sebelum Najib mememegang tampuk kuasa, mantan Mentei Besar Terengganu Dato' Seri Idris Jusoh, telah pun 'beridea' mendahului Najib, cuba untuk menukar (transform) negeri Terengganu menjadi sebuah 'Impian Yang Menjadi Realiti'.

'Masih kah kau ingat' tentang bahan propaganda kartun 'Awang' yang pernah diterbitkan pada zaman Idris Jusoh, memaparkan betapa terkejutnya, seorang anak Terengganu yang bernama 'Awang' apabila pulang dari luar negara melihat pembangunan 'hebat' negeri Terengganu.

Kalau 'karektor' Awang itu benar-benar wujud, dan Awang anak Terengganu itu masa kini, akan benar-benar terkejut, sekiranya beliau kembali ke negeri Terengganu setelah lapan tahun berlalu.

Apa tidaknya?

Awang yang turun di lapangan terbang 'impian' Idris sebagai lapangan terbang antarabangsa Sultan Mahmud pasti hairan, lampu-lampu lapangan terbang hanya dinyalakan dua kali pada waku malam, sekali untuk pesawat MAS mendarat dan berlepas. Sekali lagi untuk pesawat AirAsia mendarat dan berlepas, kedua-duanya adalah pesawat domestik, bukan antarabangsa.

Awang juga akan terkejut apabila melihat dari udara, sewaktu pesawat mahu mendarat, betapa hebatnya pembangunan 'yang tidak pernah dilihat', Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai RM292 juta yang pertama di dunia dibangunkan tanpa tiang, benar-benar kini menjadi realiti, sudah tidak bertiang lagi!

Awang juga pasti terkejut dengan kehebatan pembangunan negeri Terengganu, apabila memandu pulang ke kampung halaman dari lapangan terbang menuju ke Kertih, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang diimpikan hanya setakat Bukit Besi dan terpaksa meniti jalan lama untuk sampai destinasinya.

Lalu, Awang pun pasti keliru, mana satu impian dan mana satu realiti?

Transformasi itu bukan sebagaimana iklan-iklan propaganda yang dipaparkan di kaca televisyen kerana lagu 'terima kasih' yang didendangkan cuma adalah untuk memuji-muji, tetapi bukan realiti.

Pembangunan Lapangan terbang termasuk pemanjangan landasan terbang telah meningkat harganya sehingga hampir RM1 bilion dan ditambah dengan harga RM50 juta menampung belanja hakisan pantai akibat penambakan untuk pemanjangan landasan terbang.

Stadium yang berharga RM292 juta kini pelu diperbaiki dengan harga RM120 juta dan pembinaan LPT dari harga RM2 bilion kini sudah mencecah kepada RM5 bilion.

Belum dikira kehilangan wang royalti begitu sahaja dengan pembangunan yang tidak memberikan sebarang sumber ekonomi kepada negeri Terengganu dengan perbelanjaan RM300 juta menganjurkan Lumba Perahu Layar Piala Monsun dan membuat binaan-binaan RM1 juta sebuah untuk Taman Tamadun Islam, yang semakin malap!

Ditambah pula dengan angan-angan Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mempunyai 'pemikiran terbalik', membangunkan kawasan bebas cukai di dalam hutan di Tasik Kenyir dengan belanja hampir RM300 juta dan membina zoo di kawasan bandar dengan harga hampir RM100 juta.

Transformasi apa yang Najib bawa? Transformasi menjadikan pemimpin Umno-BN kaya raya!

Rakyat membayar cukai untuk pembangunan negara dan kontrak pembinaan diberikan kepada pemimpin Umno, lalu mereka mendabik dada sebagai usahawan berjaya.

Wang royati hak rakyat Terengganu digunakan untuk membina lapangan terbang, menganjurkan Piala Monsun dan membina lebuh raya, lalu tendernya diagihkan kepada pemimpin Umno sehingga mereka menjadi tidak sedar diri.

Iklan-iklan propaganda yang dipamerkan di kaca-kaca TV juga dibayar oleh rakyat, menjadi kempen Umno supaya Umno menang lagi? - http://buletinonline.net

Share on Myspace