Jadilah sebahagian daripada sejarah 5 Mei ini

Harakahdaily | .

TEMERLOH: PAS hari ini menyeru rakyat Malaysia, terutamanya anak-anak muda untuk menjadi sebahagian daripada sejarah 5 Mei ini, di mana rakyat akan mengundi untuk sebuah kerajaan yang baru demi kelangsungan masa depan Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, untuk itu anak-anak muda perlu menjadi ejen perubahan pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) ini.

“Perkara terpenting ialah anak-anak muda mesti keluar mengundi dan balik mengundi, samada di luar atau di dalam negara,” tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Tuan Ibrahim juga menyeru agar anak-anak muda mempergiat usaha menyebarkan maklumat ke seluruh pelusuk negara.

Antara cara yang dicadangkan ialah dengan mengunakan kedua-dua medium iaitu tradisional mahupun media baru termasuk emel, Facebook, Twitter, SMS mahupun berhujah di kedai kopi.

“Kita mesti berusaha memastikan majoriti pengundi mengundi dengan maklumat yang cukup di tangan,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim juga berkata tenaga sukarelawan juga diperlukan sebagai ejen pemantau pilihanraya.

“Bagi yang bermurah hati dan murah rezeki, bolehlah menyumbang kepada tabung pilihan raya parti-parti Pakatan Rakyat,” tambah Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon akan jatuh pada 20 April, manakala pengundian awal pada April 30.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof turut mengumumkan seramai 13,268,002 orang pengundi berdaftar layak mengundi pada pilihanraya kali ini.

“Jadikan 505 (Mei 5) sebagai tarikh bersejarah dan kenangan manis untuk kita di waktu tua, di mana generasi masa depan boleh berbangga dengan moyang mereka yang telah berjuang dengan membuat perubahan di Malaysia demi hari esok yang lebih baik untuk mereka.

"Ini kali lah!” tegas Tuan Ibrahim.

Share on Myspace